Panggilan Kinanah.
Jam
9 pagi, aku ‘mati’ atas kaki lima tilam dari rumah sewa ku di Gombak. Ternyata,
kesungguhan aku mengarang buku hingga memaksa aku tidur sesudah subuh, telah
mengheret aku ke ‘masa tambahan’.
Lenaku
dikejutkan oleh panggilan telefon seorang murabbi dari desa di Pulau Pinang. Ustaz Mutalib, seorang mudir di sebuah
pusat Tahfiz dan juga pemilik sebuah pondok moden yang dibangunkan beliau untuk
manfaat penduduk setempat.
“nazri nak pergi Mesir tak?”
Soalan
yang keluar dari corong telefon bimbit itu benar-benar membuka mataku lebih luas,
aku melihat semula ke skrin telefon.
“biar betul ustaz ni”
hatiku berbicara.
Ya.
Aku tidak bermimpi. Jika tadi mimpi membawaku ke negeri China, kali ini realiti
ingin membawaku ke Mesir, bumi anbiya. Ustaz lalu menjelaskan semuannya dan
memintaku memberikan pasport untuk urusan Visa.
Aku
ditaja percuma, namun semua ini terjadi atas kehendak dari-NYA. Sebelum itu aku
membantu mengarang sebuah buku untuk Ustaz Mutalib. Aku berniat tugasan itu aku
langsaikan ikhlas sebagai khidmat seorang murid kepada gurunya. Namun
demikianlah ALLAH membalas harga sebuah ikhlas. Alhamdulillah, ini tajaan kedua
aku selepas ditaja menunaikan umrah dua tahun lalu, dan itu pun hasil aku
menulis buku untuk tuan Haji Lokman, usahawan dari Kuala Lumpur.
Muslimnya Non-Muslim.
Hari
raya pertama aidil adha, maka kami berlepas ke bumi Mesir. Aku ditakdirkan
duduk bersebelahan seorang cina singapura. beliau menuju Abu Dhabi, tempat
transit kami nanti. Pada awalnya hanya deruman kapal terbang berselang seli
dengan pengunguman pembantu juruterbang yang melengkapi rima ketika itu. Kami tidak
bertegur sapa, mungkin kerana
pemakaianku agak kelihatan islamik membuatkan dia memikir aku seorang "terrorist".
"you slept since departured, you
must be very tired."
Aku
cuba memecah kebuntuan. Gadis cina itu kelihatan agak terkejut melihat budak
lebai gelap lusuh ini ‘speaking’ dengannya. Hasil ilmu ‘bahasa asing’ itu,
dialog lebih panjang mula berbuah.
"can u speak arabic? i feel like
dying when listen two of their words." Jelas anak cina
itu.
"is
it, kha and Qo?.” Soalku yang seakan mampu menduga maksudnya itu.
"yeah!!! hahaha. thats
one!"
Wajahnya
begitu puas menyambut kata-kataku itu. Perbualan panjang terus terjalin selaras
panjangnya tempoh penerbangan kami. Gadis cina itu sempat mengajarku bahasa jepun. Dia pernah bertugas di Jepun
sebelum ini, katanya bahasa jepun itu mudah kerana cuma menggunakan 15 rima.
‘barter’ berlaku apabila dia mengajari aku
satu perkataan jepun dan aku
membalasnya dengan satu perkataan arab, ALHAMDULILLAH.
ustaz
memberi isyarat menyuruhku mengambil wudhuk untuk solat jamaq, aku bangun
melangkah beratur di depan tandas. Hadapanku terdapat dua orang
"kakak" mat saleh yang menunggu giliran mereka. Adat ingin mengambil
wudhuk, sambil beratur, aku pun membuka
cermin mata dan selinsing lengan baju. sebaik orang dari dalam tandas itu
keluar, gadis inggeris tadi memandang
kepadaku.
"you should enter first.”
Pelawaannya itu membuat aku serba salah.
"its okay sister, you are ealier then
me.”
Balasku agar dia tahu Islam bukan penting diri.
"oh no.. you are more important
to enter first. please."
Pelawaannya kali ini membuatku terpaku dan
mula sedar, tiada siapa yang mahu bermusuh dalam agama. Aku pun melangkah kaki
sambil mindaku disarati oleh kisah raja Najashi seorang kristian yang membantu para
sahabat di era awal Islam.
Kaherah dan sejarah.
Setelah berjam jam mataku dijamu
kepungan langit biru dan kakiku memijak lantai awan, akhirnnya aku sampai ke
Bumi kaherah. Ibu negara Mesir, disinilah dahulunya tempat aku melihat dari
bingkai kaca berita tv, amukan pertempuran penyokong Morsi dan As sisi, dan
disinilah juga dahulunya aku menonton dari bingkai kaca jejak rasul tv3, kisah
Firaun dan Musa. Dan akhirnya kakiku menapak realiti di bumi ini, bumi anbiya,
dan bumi salahuddin al ayyubi.
Kami dibawa ke tempat penginapan di
rumah Perlis, tempat penginapan pelajar-pelajar Al Azhar Malaysia dari negeri
Perlis. Ruangnya begitu indah, dan aku begitu bangga melihat sekitar Kaherah
dihiasi rumah Kelantan, selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan banyak lagi. Inilah
kediaman para pengembara ilmu, anak-anak muda dari Malaysia yang berkelana di
bumi Mesir.
Pro dan Kontra
Aku bertanya kepada ustaz, bagaimana
boleh wujudnya rumah-rumah negeri Malaysia ini di bumi Kaherah? Jelasnya, ia
adalah usaha dari Kerajaan untuk membantu anak-anak pelajar di perantauan.
Sungguh, usaha ini begitu membantu
para pelajar Azhar disana. Di perkampungan Malaysia ini, mereka saling
berukhwah dan membentuk jemaah, sarat dengan usrah serta riadah.
Ditengah-tengah kota yang bising dan jauh dari negara sendiri, perlindungan
seperti ini sangatlah besar manfaatnya oleh para pelajar Azhar disana.
Namun, aku melihat dua keadaan
berbeza, meski kemudahan ini melapangkan, namun kemudahan ini juga mematikan.
Aku melihat masih ada pelajar Azhar yang ‘mati’ dalam ruang selesa itu, dan
masih kekal dalam budaya melayu dan terbawa-bawa sikap dan prilaku di Malaysia.
anak muda kita lebih selesa berfacebook di bilik sendiri berbanding keluar ke
kota mencari guru untuk bertalaqqi. Anak muda kita masih selesa memenuhi masa
berfutsal sesama sendiri dari keluar ke pekan dan bertinteraksi dan mengkaji.
Maka tidak hairanlah ada pelajar kita yang empat tahun di Mesir, dan pulang ke
Malaysia tanpa mampu bercakap arab! Maka tidak hairanlah Azhar melahirkan
ribuan pelajar setiap tahun untuk Pulang Ke Malaysia, namun perkembangan Islam
di tanah air tetap di takuk lama. Mana graduan Azhar ini bersembunyi?
Pemuda Harapan
Kembara kami kali ini telah dibantu
oleh seorang anak muda Malaysia berusia 26 tahun. Ustaz Zubair. Pelajar Al
Azhar yang sedang melengkapkan ijazah sarjana di bumi tanah Tursina. Kalau
memang benih yang baik, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut
menjadi pulau. Ustaz Zubair berbeza dengan para pelajar Azhar yang lain, beliau
tidak memenuhi masanya di asrama pelajar Malaysia, sebaliknya dia berkelana
menjejak sejarah Musa. Dia tidak berdiam
menyiapkan tugasan universiti, sebaliknya berkejar ke sana sini mencari ulama
untuk bertalaqqi. Pada awalnya kami dibawa bersiar-siar ke sekeliling kota
Kaherah, aku begitu kagum bila melihat begitu ramai warga Mesir dari kota itu
yang menegur dan mengenali pemuda melayu yang bernama Zubair ini.
Alhamdulillah, sekiranya semua pelajar Malaysia di Al Azhar berwatakkan Ustaz
Zubair, maka Islam di Malaysia ada harapan cerah.
Polis Mesir dan perlindungan Tuhan.
Hari
seterusnya dalam kembara ini kami melewati bumi faiyyum. Bumi subur yang
terletak 200 Km dari Kaherah. Perjalanan mengambil masa tiga jam lebih. Kami
dipandu oleh Ust Zubair. Di pertengahan jalan, kami ditahan oleh polis Mesir.
Setelah lama pihak polis itu ‘bertengkar’ dengan Ustaz zubair, akhirnya mereka
mengambil keputusan untuk mengekori perjalanan kami. Berpakaian polis lengkap
dengan senjata, dan mengekori kami rapat dari belakang, cukup untuk membuat
hati ini rimas. Tiap kali mataku menoleh belakang, jeep polis itu masih setia bersama.
“ahh.. sudah 100km lebih perjalanan
kami, dan pihak polis itu masih mengikuti?” hatiku mula
membuak persoalan. Apa yang sedang berlaku.
Lantas
aku memindahkan persoalan itu kepada ustaz zubair.
“oh.. tu depa (mereka) bukan ingat
kita ini pengganas, tapi depa nak lindung kita dari pelampau. Depa ikut tu
pasai nak jaga kita la tu. Sekarang ni industri pelancongan Mesir jatuh teruk,
sebab tu depa buat semua ni sebab nak pulihkan balik kepercayaan pelancong.”
Jelas Ustaz Zubair yang berdarah Kedah itu.
Hatiku
menjadi serba salah, sepanjang dua jam tadi aku bersangka buruk kepada mereka, seolah-olah
mereka itu mengawal dan mengongkong perjalanan kami, rupanya mereka sedang
menjaga dan melindungi kami. Aduhai kotor benar hati ini. Begitulah juga dengan
kehidupan, sepanjang hidup ini, ada perkara yang Allah larang kita lakukan,
Allah sertakan malaikat mengiringi kita setiap masa, kita marah dan
mempersoalkan, rupanya apa yang Allah lakukan itu, bukanlah untuk mengongkong
manusia, sebaliknya untuk melindungi.
Qarun yang menyusahkan!
Kami tiba di bumi Fayyum. Disinilah
terdapatnya terusan yang dikaitkan dengan ilham nabi Yusuf untuk projek
pertanian Mesir. Kami melewati padang pasir yang seolah tiada penghujung,
menuju ke sebuah istana ‘orang kaya’. Qarun, saudara Musa.
Sebaik tiba di pekan terletaknya
istana itu, kami perlu masuk lebih dalam dan meredah jalan-jalan yang sangat
tidak mesra pemandu. Setibanya di hadapan pintu masuk, kami ditahan di kaunter
pengawal. Sebuah bangsal usang dengan bata belum siap, dan dilapik tikar
mengkuang lama, itulah bangsal pengawal mereka.
Mereka tidak membenarkan kami masuk,
pelbagai alasan diberikan, dan mereka mengenakan bayaran yang cukup mahal. Dan
itu tidak ada dalam tiket, ahh. Tiket pun tidak wujud! Tapi apa lagi yang mampu
dibuat, kami jauh di bumi orang, jika mahu berpatah balik, kami sudah meredah
200 km. Jika mahu masuk, kami terpaksa membayar harga yang sangat mahal dan
pastinya tidak berbaloi dengan apa yang mereka tawarkan. Tidak ada sebarang
parking, tidak ada kemudahan tandas, malah sekadar sebuah istana tua, mereka
dirikan bangsal pengawal di kaki jalan, lalu mereka katakan itu milik mereka,
dan menuntut bayaran.
Kami
memandang kearah polis yang melindungi kami sejak tadi. Mereka mungkin dapat
membantu. Ternyata kami kecewa bila melihat para pegawai polis itu sudah
bersila meminum teh dan menghisap syisha bersama para pengawal tidak bertauliah
itu. Ahh.. sekarang aku faham, mengapa industri pelancongan mesir jatuh
merosot.
“Qarun ni, hidup pun menyusahkan
orang, dah mati pun menyusahkan orang!” ustaz Mutalib
berseloroh.
Ya
kata-kata beliau ada benarnya. Kami sudah pun menziarahi masjid dan maqam imam
syafie, maqam Saidina Husin, maqam syeikh Salah Ja’fari, kesemua itu kami
lewati tanpa masalah, namun bila tiba ke khazanah insan bernama Qarun ini,
pelbagai pula kerenahnya.
Ironinya,
para pengawal itu begitu tamak menaikkan harga untuk kami masuk, sedangkan
mereka sedang menjaga sebuah istana runtuh insan yang dihukum ALLAH kerana
ketamakkan. Demikian kehidupan, meskipun setiap hari mereka menatap runtuhan
istana manusia tamak yang dihukum ALLAH, hati mereka sedikit pun tidak terkesan
untuk mengambil pengajaran dari apa yang dilihat mata itu.
Toleransi seorang nabi.
Setelah konflik di istana Qarun
selesai, kami bergerak pulang, di pertengahan jalan kami singgah di sebuah Padang
pasir, dan berjalan diatasnya untuk mengambil ibrah suasana di padang mahsyar.
Dari kejauhan kami melihat ada mata air yang mengalir begitu indah dan jernih.
Disanalah wadi Ar rayyan. Siapa mampu menduga di hamparan padang pasir yang
gersang ini, terdapat bilahan-bilahan mata air yang menyegarkan.
“dulu, semasa dalam salah satu
perang, nabi memerintahkann para sahabat untuk mendirikan kem di suatu tempat,
lalu para sahabat bertanya, “ya Rasulullah, apakah ini wahyu, atau pendapatmu
sendiri?” Rasulullah menjawab, “ini pendapatku.” Maka para sahabat berkata,
“jika demikian, bolehkah kami mencadangkan agar kita mendirikan kem di tempat
lain, yang berdekatan dengan mata air, agar mudah kita mendapat bekalan air.”
Lalu Rasulullah s.a.w pun bersetuju.”
Ustaz Mutalib menceritakan sirah itu
kepada kami sambil kami sedang menikmati keindahan mata air di wadi Ar Rayyan
itu. Sungguh, dari hadis ini, aku mendapat dua pengajaran. Pertamanya,
Rasulullah bukan seorang pemimpin yang ego, malah baginda mendengar cadangan
para sahabat. Kedua, para sahabat Rasulullah tidak akan membantah apa sahaja
suruhan ALLAH, kerana itulah sebelum memberi cadangan lain, mereka bertanya
dahulu, apakah arahan Rasulullah tadi adalah wahyu. Sekiranya ianya adalah
wahyu, maka suka atau tidak, mereka pasti akan taat. Demikian hadis serta alam
mengajarku dalam kembara ini.
P Ramlee dan perkampungan arab.
Keesokan harinya, kami meneruskan
perjalanan ini ke sebuah perkampungan Mesir yang terletak di Qalyubi.
Perjalanan ke kampung ini mengambil masa satu jam setengah dari kota Kaherah.
Sebaik meninggalkan kesibukan kota kaherah, dan memasuki gerbang Qalyubi, hanya
Allah yang tahu betapa mata ini terpukau oleh keindahan alam ciptaan Ilahi.
Mataku disajikan dengan ladang
gandum yang mengunding, sesekali kawanaan burung melintasi ruang udara,
melengkapkan lagi pandangan mata. Air dari terusan yang mengalir di kiri dan
kanan jalan perkampungan ini sungguh tenang dan jernih. Dari jauh aku melihat
para petani tua menunggang keldai yang memikul hasil pertanian mereka. Ladang
jagung turut mengisi peta perkampungan damai ini. Lalu kami melewati bahagian
rumah-rumah penduduk. Rumah-rumah disana tersusun begitu rapat, dan dari balik
bingkai kaca tingkap Toyota Avanza itu, aku dapat melihat keharmonian penduduk
yang berbual-bual di halaman kejiranan, sesekali mereka mengangkat tangan pada
kami, sebuah jentera asing dari kota bising. Apa yang paling ketara adalah, aku
tidak mendengar keriuhan bunyi hon kenderaan seperti di Kaherah. Disini
semuanya harmoni dan tenang, dan penghuni disini, mereka bersahabat dengan
alam. Jika Kaherah mengingatkan aku kepada Firaun dan kucar kacir kota, Qalyubi
membawaku mengingati ketampanan Yusuf dan kepimpinan Musa.
Seperkara
lagi yang begitu menyentuh emosiku, bila aku melihat sususan rumah-rumah
kampung disini, beserta pasar dan kedai-kedainya. Saling tidak tumpah dengan
apa yang dibawa oleh Allayarham P Ramlee dalam kisah-kisah negeri arab seperti
Ali Baba bujang lapok dan tiga Abdul. Soalnya, dari mana allayarham mendapat idea
ini? Keadaannya begitu sama dan serupa! Beliau tidak pernah memijakkan kaki ke
bumi Mesir, malah di zaman beliau belum ada internet atau Google Image! Maka
bagaimana? Sungguh, beliau selayaknya digelar seniman agung, tiap karya yang
beliau hasilkan, beliau tidak akan lakukannya sambil lewa, dan pastilah luas
bahan bacaan beliau, hingga mampu membina kampung Qalyubi di dalam studio Jalan
Ampas di bumi sendiri. Jika allayarham yang belum pernah berpijak ke Mesir pun
mampu membawa mesej untuk masyarakat melalui karya-karyanya, bagaimana pula
dengan palajar Malaysia di Azhar yang bertahun tahun menetap di sini? Mengapa
ada yang tidak membawa pulang bakti? Dan bagaimana pula dengan diriku sendiri?
Apakah sumbangan yang bakal aku bawa pulang dari kesempatan kembara ini? Ketika
itu, aku malu pada Allayarham P Ramlee.
Aku ingin kembara lagi.
Pulang dari Qalyubi, maka lengkaplah
kembara ini. Kami sempat menyantuni para pelajar Malaysia di Mesir, telinga
kami sempat dibingitkan oleh kebisingan kota kaherah, mata kami sempat
dihiburkan oleh ketenangan Qalyubiah, kaki sempat melangkah atas hamparan
padang pasir bumi Kinanah, jiwa sempat disentap oleh runtuhan sejarah.
Dari masjid Al Azhar ke Qal’ah
salahuddin Al Ayyubi, dari fayyum menuju ke perkampungan Qalyubi, dan kali ini,
kami bakal berangkat pergi, dari kaherah menuju transit di Abu Dhabi. Mesir,
sungguh kau menyimpan sejarah tersendiri. Bumimu menyimpan jasad sekalian wali,
tanahmu mengandung tubuh sekalian nabi. Sebuah empayar tertua dunia, umurmu itu
wajar dihormati. Dan, Aku ingin kembara lagi.
Terima
kasih Mesir, kerana menyambutku, terima kasih ALLAH kerana membawaku. Sebuah
kembara yang membuka mata, sebuah kembara yang mendidik jiwa. Dari kerusi
lapangan terbang kota kaherah, aku menulis sebuah warkah, sebuah warkah dari jaulah,
di atas hamparan Kinanah.
4 comments:
Asslm saudara...sy bgtu brminat trhdp blog kmu...bgaimna cra sy utk mnghubungi kamu...utk sy mnanyakn sesuatu...
Menurut suami sy org Mesir, P.Ramlee pernah bljr di Mesir. P.Ramlee brasal dari Acheh negeri serambi Mekah.menjadi kebiasaan para pljr agama mnyambung pengajian di Mesir. Filem2 P.Ramlee diadaptasi dari filem2 Mesir mlhn ada jln cerita yg betul2 serupa. Mesir adalah Ummu Dunnya, tamadunnya bermula jauh sblm Parameswara menakluk Melaka
Ustaz taknak blog lagi kah
Artikel ustaz menarik untuk dibaca. Terima kasih.
Post a Comment