teman-teman...

Tuesday, December 16, 2014

CERPEN : Travelog Mesir : "bawa Aku kembara lagi.."


Panggilan Kinanah.
Jam 9 pagi, aku ‘mati’ atas kaki lima tilam dari rumah sewa ku di Gombak. Ternyata, kesungguhan aku mengarang buku hingga memaksa aku tidur sesudah subuh, telah mengheret aku ke ‘masa tambahan’.
Lenaku dikejutkan oleh panggilan telefon seorang murabbi dari desa di Pulau  Pinang. Ustaz Mutalib, seorang mudir di sebuah pusat Tahfiz dan juga pemilik sebuah pondok moden yang dibangunkan beliau untuk manfaat penduduk setempat.
“nazri nak pergi Mesir tak?”
Soalan yang keluar dari corong telefon bimbit itu benar-benar membuka mataku lebih luas, aku melihat semula ke skrin telefon.
 “biar betul ustaz ni” hatiku berbicara.
Ya. Aku tidak bermimpi. Jika tadi mimpi membawaku ke negeri China, kali ini realiti ingin membawaku ke Mesir, bumi anbiya. Ustaz lalu menjelaskan semuannya dan memintaku memberikan pasport untuk urusan Visa.
Aku ditaja percuma, namun semua ini terjadi atas kehendak dari-NYA. Sebelum itu aku membantu mengarang sebuah buku untuk Ustaz Mutalib. Aku berniat tugasan itu aku langsaikan ikhlas sebagai khidmat seorang murid kepada gurunya. Namun demikianlah ALLAH membalas harga sebuah ikhlas. Alhamdulillah, ini tajaan kedua aku selepas ditaja menunaikan umrah dua tahun lalu, dan itu pun hasil aku menulis buku untuk tuan Haji Lokman, usahawan dari Kuala Lumpur.
Muslimnya Non-Muslim.     
Hari raya pertama aidil adha, maka kami berlepas ke bumi Mesir. Aku ditakdirkan duduk bersebelahan seorang cina singapura. beliau menuju Abu Dhabi, tempat transit kami nanti. Pada awalnya hanya deruman kapal terbang berselang seli dengan pengunguman pembantu juruterbang yang melengkapi rima ketika itu. Kami tidak bertegur sapa,  mungkin kerana pemakaianku agak kelihatan islamik membuatkan dia memikir aku seorang  "terrorist". 
"you slept since departured, you must be very tired."
Aku cuba memecah kebuntuan. Gadis cina itu kelihatan agak terkejut melihat budak lebai gelap lusuh ini ‘speaking’ dengannya. Hasil ilmu ‘bahasa asing’ itu, dialog lebih panjang mula berbuah.
"can u speak arabic? i feel like dying when listen two of their words." Jelas anak cina itu.
 "is it, kha and Qo?.” Soalku yang seakan mampu menduga maksudnya itu.
"yeah!!! hahaha. thats one!"
Wajahnya begitu puas menyambut kata-kataku itu. Perbualan panjang terus terjalin selaras panjangnya tempoh penerbangan kami. Gadis cina itu sempat mengajarku  bahasa jepun. Dia pernah bertugas di Jepun sebelum ini, katanya bahasa jepun itu mudah kerana cuma menggunakan 15 rima. ‘barter’ berlaku apabila dia mengajari aku  satu  perkataan jepun dan aku membalasnya dengan satu perkataan arab, ALHAMDULILLAH.
ustaz memberi isyarat menyuruhku mengambil wudhuk untuk solat jamaq, aku bangun melangkah beratur di depan tandas. Hadapanku terdapat dua orang "kakak" mat saleh yang menunggu giliran mereka. Adat ingin mengambil wudhuk, sambil beratur, aku  pun membuka cermin mata dan selinsing lengan baju. sebaik orang dari dalam tandas itu keluar,  gadis inggeris tadi memandang kepadaku.
"you should enter first.”
 Pelawaannya itu membuat aku serba salah.
 "its okay sister, you are ealier then me.” Balasku agar dia tahu Islam bukan penting diri.
"oh no.. you are more important to enter first. please."
 Pelawaannya kali ini membuatku terpaku dan mula sedar, tiada siapa yang mahu bermusuh dalam agama. Aku pun melangkah kaki sambil mindaku disarati oleh kisah raja Najashi seorang kristian yang membantu para sahabat di era awal Islam.
Kaherah dan sejarah.
            Setelah berjam jam mataku dijamu kepungan langit biru dan kakiku memijak lantai awan, akhirnnya aku sampai ke Bumi kaherah. Ibu negara Mesir, disinilah dahulunya tempat aku melihat dari bingkai kaca berita tv, amukan pertempuran penyokong Morsi dan As sisi, dan disinilah juga dahulunya aku menonton dari bingkai kaca jejak rasul tv3, kisah Firaun dan Musa. Dan akhirnya kakiku menapak realiti di bumi ini, bumi anbiya, dan bumi salahuddin al ayyubi.
            Kami dibawa ke tempat penginapan di rumah Perlis, tempat penginapan pelajar-pelajar Al Azhar Malaysia dari negeri Perlis. Ruangnya begitu indah, dan aku begitu bangga melihat sekitar Kaherah dihiasi rumah Kelantan, selangor, Kedah, Pulau Pinang, dan banyak lagi. Inilah kediaman para pengembara ilmu, anak-anak muda dari Malaysia yang berkelana di bumi Mesir.

Pro dan Kontra
            Aku bertanya kepada ustaz, bagaimana boleh wujudnya rumah-rumah negeri Malaysia ini di bumi Kaherah? Jelasnya, ia adalah usaha dari Kerajaan untuk membantu anak-anak pelajar di perantauan.
            Sungguh, usaha ini begitu membantu para pelajar Azhar disana. Di perkampungan Malaysia ini, mereka saling berukhwah dan membentuk jemaah, sarat dengan usrah serta riadah. Ditengah-tengah kota yang bising dan jauh dari negara sendiri, perlindungan seperti ini sangatlah besar manfaatnya oleh para pelajar Azhar disana.
            Namun, aku melihat dua keadaan berbeza, meski kemudahan ini melapangkan, namun kemudahan ini juga mematikan. Aku melihat masih ada pelajar Azhar yang ‘mati’ dalam ruang selesa itu, dan masih kekal dalam budaya melayu dan terbawa-bawa sikap dan prilaku di Malaysia. anak muda kita lebih selesa berfacebook di bilik sendiri berbanding keluar ke kota mencari guru untuk bertalaqqi. Anak muda kita masih selesa memenuhi masa berfutsal sesama sendiri dari keluar ke pekan dan bertinteraksi dan mengkaji. Maka tidak hairanlah ada pelajar kita yang empat tahun di Mesir, dan pulang ke Malaysia tanpa mampu bercakap arab! Maka tidak hairanlah Azhar melahirkan ribuan pelajar setiap tahun untuk Pulang Ke Malaysia, namun perkembangan Islam di tanah air tetap di takuk lama. Mana graduan Azhar ini bersembunyi?
Pemuda Harapan
            Kembara kami kali ini telah dibantu oleh seorang anak muda Malaysia berusia 26 tahun. Ustaz Zubair. Pelajar Al Azhar yang sedang melengkapkan ijazah sarjana di bumi tanah Tursina. Kalau memang benih yang baik, dicampak ke darat menjadi gunung, dicampak ke laut menjadi pulau. Ustaz Zubair berbeza dengan para pelajar Azhar yang lain, beliau tidak memenuhi masanya di asrama pelajar Malaysia, sebaliknya dia berkelana menjejak sejarah Musa.  Dia tidak berdiam menyiapkan tugasan universiti, sebaliknya berkejar ke sana sini mencari ulama untuk bertalaqqi. Pada awalnya kami dibawa bersiar-siar ke sekeliling kota Kaherah, aku begitu kagum bila melihat begitu ramai warga Mesir dari kota itu yang menegur dan mengenali pemuda melayu yang bernama Zubair ini. Alhamdulillah, sekiranya semua pelajar Malaysia di Al Azhar berwatakkan Ustaz Zubair, maka Islam di Malaysia ada harapan cerah.

Polis Mesir dan perlindungan Tuhan.
Hari seterusnya dalam kembara ini kami melewati bumi faiyyum. Bumi subur yang terletak 200 Km dari Kaherah. Perjalanan mengambil masa tiga jam lebih. Kami dipandu oleh Ust Zubair. Di pertengahan jalan, kami ditahan oleh polis Mesir. Setelah lama pihak polis itu ‘bertengkar’ dengan Ustaz zubair, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk mengekori perjalanan kami. Berpakaian polis lengkap dengan senjata, dan mengekori kami rapat dari belakang, cukup untuk membuat hati ini rimas. Tiap kali mataku menoleh belakang, jeep polis itu masih setia bersama.
“ahh.. sudah 100km lebih perjalanan kami, dan pihak polis itu masih mengikuti?” hatiku mula membuak persoalan. Apa yang sedang berlaku.
Lantas aku memindahkan persoalan itu kepada ustaz zubair.
“oh.. tu depa (mereka) bukan ingat kita ini pengganas, tapi depa nak lindung kita dari pelampau. Depa ikut tu pasai nak jaga kita la tu. Sekarang ni industri pelancongan Mesir jatuh teruk, sebab tu depa buat semua ni sebab nak pulihkan balik kepercayaan pelancong.” Jelas Ustaz Zubair yang berdarah Kedah itu.
Hatiku menjadi serba salah, sepanjang dua jam tadi aku bersangka buruk kepada mereka, seolah-olah mereka itu mengawal dan mengongkong perjalanan kami, rupanya mereka sedang menjaga dan melindungi kami. Aduhai kotor benar hati ini. Begitulah juga dengan kehidupan, sepanjang hidup ini, ada perkara yang Allah larang kita lakukan, Allah sertakan malaikat mengiringi kita setiap masa, kita marah dan mempersoalkan, rupanya apa yang Allah lakukan itu, bukanlah untuk mengongkong manusia, sebaliknya untuk melindungi.


Qarun yang menyusahkan!
            Kami tiba di bumi Fayyum. Disinilah terdapatnya terusan yang dikaitkan dengan ilham nabi Yusuf untuk projek pertanian Mesir. Kami melewati padang pasir yang seolah tiada penghujung, menuju ke sebuah istana ‘orang kaya’. Qarun, saudara Musa.
            Sebaik tiba di pekan terletaknya istana itu, kami perlu masuk lebih dalam dan meredah jalan-jalan yang sangat tidak mesra pemandu. Setibanya di hadapan pintu masuk, kami ditahan di kaunter pengawal. Sebuah bangsal usang dengan bata belum siap, dan dilapik tikar mengkuang lama, itulah bangsal pengawal mereka.
            Mereka tidak membenarkan kami masuk, pelbagai alasan diberikan, dan mereka mengenakan bayaran yang cukup mahal. Dan itu tidak ada dalam tiket, ahh. Tiket pun tidak wujud! Tapi apa lagi yang mampu dibuat, kami jauh di bumi orang, jika mahu berpatah balik, kami sudah meredah 200 km. Jika mahu masuk, kami terpaksa membayar harga yang sangat mahal dan pastinya tidak berbaloi dengan apa yang mereka tawarkan. Tidak ada sebarang parking, tidak ada kemudahan tandas, malah sekadar sebuah istana tua, mereka dirikan bangsal pengawal di kaki jalan, lalu mereka katakan itu milik mereka, dan menuntut bayaran.
Kami memandang kearah polis yang melindungi kami sejak tadi. Mereka mungkin dapat membantu. Ternyata kami kecewa bila melihat para pegawai polis itu sudah bersila meminum teh dan menghisap syisha bersama para pengawal tidak bertauliah itu. Ahh.. sekarang aku faham, mengapa industri pelancongan mesir jatuh merosot.
“Qarun ni, hidup pun menyusahkan orang, dah mati pun menyusahkan orang!” ustaz Mutalib berseloroh.
Ya kata-kata beliau ada benarnya. Kami sudah pun menziarahi masjid dan maqam imam syafie, maqam Saidina Husin, maqam syeikh Salah Ja’fari, kesemua itu kami lewati tanpa masalah, namun bila tiba ke khazanah insan bernama Qarun ini, pelbagai pula kerenahnya.
Ironinya, para pengawal itu begitu tamak menaikkan harga untuk kami masuk, sedangkan mereka sedang menjaga sebuah istana runtuh insan yang dihukum ALLAH kerana ketamakkan. Demikian kehidupan, meskipun setiap hari mereka menatap runtuhan istana manusia tamak yang dihukum ALLAH, hati mereka sedikit pun tidak terkesan untuk mengambil pengajaran dari apa yang dilihat mata itu.
Toleransi seorang nabi.
            Setelah konflik di istana Qarun selesai, kami bergerak pulang, di pertengahan jalan kami singgah di sebuah Padang pasir, dan berjalan diatasnya untuk mengambil ibrah suasana di padang mahsyar. Dari kejauhan kami melihat ada mata air yang mengalir begitu indah dan jernih. Disanalah wadi Ar rayyan. Siapa mampu menduga di hamparan padang pasir yang gersang ini, terdapat bilahan-bilahan mata air yang menyegarkan.
“dulu, semasa dalam salah satu perang, nabi memerintahkann para sahabat untuk mendirikan kem di suatu tempat, lalu para sahabat bertanya, “ya Rasulullah, apakah ini wahyu, atau pendapatmu sendiri?” Rasulullah menjawab, “ini pendapatku.” Maka para sahabat berkata, “jika demikian, bolehkah kami mencadangkan agar kita mendirikan kem di tempat lain, yang berdekatan dengan mata air, agar mudah kita mendapat bekalan air.” Lalu Rasulullah s.a.w pun bersetuju.”
            Ustaz Mutalib menceritakan sirah itu kepada kami sambil kami sedang menikmati keindahan mata air di wadi Ar Rayyan itu. Sungguh, dari hadis ini, aku mendapat dua pengajaran. Pertamanya, Rasulullah bukan seorang pemimpin yang ego, malah baginda mendengar cadangan para sahabat. Kedua, para sahabat Rasulullah tidak akan membantah apa sahaja suruhan ALLAH, kerana itulah sebelum memberi cadangan lain, mereka bertanya dahulu, apakah arahan Rasulullah tadi adalah wahyu. Sekiranya ianya adalah wahyu, maka suka atau tidak, mereka pasti akan taat. Demikian hadis serta alam mengajarku dalam kembara ini.
P Ramlee dan perkampungan arab.
            Keesokan harinya, kami meneruskan perjalanan ini ke sebuah perkampungan Mesir yang terletak di Qalyubi. Perjalanan ke kampung ini mengambil masa satu jam setengah dari kota Kaherah. Sebaik meninggalkan kesibukan kota kaherah, dan memasuki gerbang Qalyubi, hanya Allah yang tahu betapa mata ini terpukau oleh keindahan alam ciptaan Ilahi.
            Mataku disajikan dengan ladang gandum yang mengunding, sesekali kawanaan burung melintasi ruang udara, melengkapkan lagi pandangan mata. Air dari terusan yang mengalir di kiri dan kanan jalan perkampungan ini sungguh tenang dan jernih. Dari jauh aku melihat para petani tua menunggang keldai yang memikul hasil pertanian mereka. Ladang jagung turut mengisi peta perkampungan damai ini. Lalu kami melewati bahagian rumah-rumah penduduk. Rumah-rumah disana tersusun begitu rapat, dan dari balik bingkai kaca tingkap Toyota Avanza itu, aku dapat melihat keharmonian penduduk yang berbual-bual di halaman kejiranan, sesekali mereka mengangkat tangan pada kami, sebuah jentera asing dari kota bising. Apa yang paling ketara adalah, aku tidak mendengar keriuhan bunyi hon kenderaan seperti di Kaherah. Disini semuanya harmoni dan tenang, dan penghuni disini, mereka bersahabat dengan alam. Jika Kaherah mengingatkan aku kepada Firaun dan kucar kacir kota, Qalyubi membawaku mengingati ketampanan Yusuf dan kepimpinan Musa.
Seperkara lagi yang begitu menyentuh emosiku, bila aku melihat sususan rumah-rumah kampung disini, beserta pasar dan kedai-kedainya. Saling tidak tumpah dengan apa yang dibawa oleh Allayarham P Ramlee dalam kisah-kisah negeri arab seperti Ali Baba bujang lapok dan tiga Abdul. Soalnya, dari mana allayarham mendapat idea ini? Keadaannya begitu sama dan serupa! Beliau tidak pernah memijakkan kaki ke bumi Mesir, malah di zaman beliau belum ada internet atau Google Image! Maka bagaimana? Sungguh, beliau selayaknya digelar seniman agung, tiap karya yang beliau hasilkan, beliau tidak akan lakukannya sambil lewa, dan pastilah luas bahan bacaan beliau, hingga mampu membina kampung Qalyubi di dalam studio Jalan Ampas di bumi sendiri. Jika allayarham yang belum pernah berpijak ke Mesir pun mampu membawa mesej untuk masyarakat melalui karya-karyanya, bagaimana pula dengan palajar Malaysia di Azhar yang bertahun tahun menetap di sini? Mengapa ada yang tidak membawa pulang bakti? Dan bagaimana pula dengan diriku sendiri? Apakah sumbangan yang bakal aku bawa pulang dari kesempatan kembara ini? Ketika itu, aku malu pada Allayarham P Ramlee.
Aku ingin kembara lagi.
            Pulang dari Qalyubi, maka lengkaplah kembara ini. Kami sempat menyantuni para pelajar Malaysia di Mesir, telinga kami sempat dibingitkan oleh kebisingan kota kaherah, mata kami sempat dihiburkan oleh ketenangan Qalyubiah, kaki sempat melangkah atas hamparan padang pasir bumi Kinanah, jiwa sempat disentap oleh runtuhan sejarah.
            Dari masjid Al Azhar ke Qal’ah salahuddin Al Ayyubi, dari fayyum menuju ke perkampungan Qalyubi, dan kali ini, kami bakal berangkat pergi, dari kaherah menuju transit di Abu Dhabi. Mesir, sungguh kau menyimpan sejarah tersendiri. Bumimu menyimpan jasad sekalian wali, tanahmu mengandung tubuh sekalian nabi. Sebuah empayar tertua dunia, umurmu itu wajar dihormati. Dan, Aku ingin kembara lagi.
Terima kasih Mesir, kerana menyambutku, terima kasih ALLAH kerana membawaku. Sebuah kembara yang membuka mata, sebuah kembara yang mendidik jiwa. Dari kerusi lapangan terbang kota kaherah, aku menulis sebuah warkah, sebuah warkah dari jaulah, di atas hamparan Kinanah.







1 comment:

Anonymous said...

Asslm saudara...sy bgtu brminat trhdp blog kmu...bgaimna cra sy utk mnghubungi kamu...utk sy mnanyakn sesuatu...