teman-teman...

Sunday, September 14, 2014

CERPEN : Rokok Daun Tembakau Jawa


                                               
 “kisah sebuah bangsa dalam segulung rokok..”

Oleh : IbnuRijal

 Mentari siap berkemas untuk punch card, dan bulan bersedia masuk syif. Warna merah di kaki langit kian menghitam dengan sendiri, kelihatan itik memimpin koloninya pulang, mungkin dari sini terbitnya peribahasa ‘itik pulang petang’, didarat keluarga itik beratur pulang, di langit kawanan burung terbang ingin ‘touch-down’ ke sarang, masing-masing melintasi kumpulan anak muda yang duduk-duduk di bahu jalan menggigit lalang, di atas Honda Wave, Ex5 pemberian ayah masing-masing kerana sayang.

Arman, pelajar tahun tiga universiti tempatan, asyik memetik gitar diatas anjung rumahnya yang terletak di tepi jalan. Man anak ketiga, abang sulungya berpindah tinggal di rumah PRIMA selepas berkahwin. Angahnya merantau ke kota singa,

‘aku ada standard, mana layan kerja gaji ciput cam kat sini..!”

Kata-kata angah, bila Arman bertanya kenapa tidak kerja saja di Malaysia ketika angah pulang raya ke kampung, pandu honda Ferior Second Hand beli dari Mudah.Com.

“man.. hang tak reti ka dah maghrib? Hormat la sikit, yang dok pi main menatang gitar tu buat apa, dah! berenti”

Pak Mat Haji, ayah man. Usianya hampir 70 tahun, senja. Seperti langit waktu itu juga, Mereka sebaya. Pak Mat haji adalah bekas tentera, dan kini menyara hidup dengan mengambil upah membuat rotan. Pak Mat haji belum pun ke Mekah, katanya belum sampai seru.Gelaran haji dia peroleh kerana dia adalah ‘king’ dam haji di warung kopi pak Mid di kampung mereka.

‘buat apa pergi haji, aku tiap-tiap malam dapat haji, banyak kali pulak tu.” Seloroh Pak Mat bila rakan-rakan menyapa tentang bila mahu ke tanah suci.

Suasana jadi sunyi, hanya suara cengkerik baru berani-berani buat sound check. Garis merah di kaki langit makin pudar ditelan gelap, itik tadi mungkin sudah sampai ke reban. Man membetulkan tuning gitarnya, nak main tak boleh, maghrib. Orang melayu hormat benar dengan mahgrib.

Ramlah, ibu Man awal-awal sudah bertelekung, Ramlah sejak berusia senja ini sangat minat mengaji. Tanyalah Ustaz, rancangan yang paling dia minati. Hujung minggu Ramlah menumpang Van yang masuk ke kampung membawa orang tua-tua yang mahu mendengar Ustaz Mutalib baca kitab di pondoknya. Tafsir Nurul Ehsan dan bahrul Mazi. Pak Mat sibuk ‘buat Haji’ di tanah suci warung Pak Mid, maka Ramlah pergi berkumpulan dengan kaum ibu kampung itu yang senasib dengannya.

“man, hang bila nak balik U?”
“dua minggu lagi ayah”
“duit cukup dak? Kalau tak cukup, habaq.”
takpa, man ada lagi duit, dok tolong kawan buskin kat bukit bintang tu, buleh la duit sikit-sikit”

Pak Mat Haji sungguh pun tegas, dia pentingkan pelajaran man. Man anak tunggalnya yang berjaya masuk universiti. Satu kampung Pak Mat jaja, bila man dapat belajar jadi loya (lawyer).
Pak mat temenung jauh, tangannya sedang memilih-milih sesuatu, jumpa. Dia melurut-melurut daun itu, dan memasukkan tembakau lalu menggulungnya. Ia dihidang ke bibir, pak mat mencucuhnya, asap keluar berkepoi-kepoi, nikmat dunia!

“ayah dok isap rokok apa lagi, bahaya tau dak.”
“alah, aku isap dekat 50 tahun dah, tak jadi apa pun kat aku”

jawab Pak Mat yang hanya berkain pelekat dan kemeja lengan pendek yang butangnya dibuka, nampak tulang rangkanya dan kulit yang semakin berkedut dari bawah lehernya.

“tapi rokok kan israel, depa guna duit kita dok bunuh orang palestin nu..” dakwah Man.

“daun ni kawan ayah yang buat sendiri, israel kot mana, duit daun rokok ni la dia himpun buat pi mekah dulu. Ni tembakau ni, tembaku jawa. Orang indon pun lawan dengan belanda, kapiaq gak tu. Uhuk! Uhuk!”

“haa.. tu batuk! Habaq tadi tak dak sakit apa.

Pak mat hanya memandang meliar kearah mini tar didepan anjung rumah mereka itu. Mungkin malu, macam mana boleh batuk pulak time-time ni.

‘ijah! Hang pi mandi semayang lekaih, maghrib dah ni. Sat lagi pukul 8 baru kalut nak berebut bilik ayaq dengan ayah, dok mengadap tv tu ja qeja hang”

Topik rokok terhenti, satu rumah bagai bergegar mendengar Ramlah memarahi Ijah. Adik bongsu man, yang sedang mengiring didepan tv, tonton ‘rindu awak 200%.

“sat la mak, malam ni episod best, mel tu dah tau dah laki dia qeja apa”

Ijah membalas, tanpa menoleh kearah ibunya yang sedang bertelekung mencekak pinggang, mata Ijah setia pada kaca tv, bagai ada tarikan graviti dari tv kepada bebola matanya itu.

“Haji Mat! Jom pi masjid jom!”

Pak long saleh. Bilal masjid.memandu SYM lengkap berbaju melayu menyapa mereka dari atas mini tar. Pak long saleh bilal kampung, istiqamah 5 waktu bersolat di masjid sejak pencen jadi ketua Balai di Parit Buntar 8 tahun lalu. Pak Mat hanya mengangkat tangan dan memberi isyarat selamat, sambil pak long makin jauh meninggalkan pandangan pak mat dan Man.

“berlagak”

Man tidak terkejut mendengar perkataan yang dikeluarkan ayahnya itu. Dia masak benar perangai ayahnya yang tidak suka ditegur. Man hanya tersenyum melihat ayahnya merenung tajam kearah pak Long saleh yang makin jauh meninggalkan mereka itu.

“dia ni dulu ketua polis, orang kata dia dulu ni rasuah pun kuat, taik judi pulak tu. Baru dua tiga taun pi masjid, nak jadi ustat.”

“tak pa la ayah. Tu kisah lama dia. Dia tegur ayah ja pun, bukan mai ceramah.”

‘dia tu takpalah. Tok bilal, pi masjid dapat elaun. Cuba kalau tak dapat, tak pasai dia nak pi”
“elaun pun tak pa la. Dia buat kerja, kalau dia tak azan, sapa lagi nak azan. Bukan semua orang rajin pi masjid awai macam pak long.”

“ni satu lagi, orang pakat dok kata, yang dia dok bawak orang pi sembahyang mayat tu, banyak tu duit dia dapat kat dia. Kalau dari dulu otak duit, sampai bila pun otak duit la, bezanya dulu dia pakai topi polis, la ni dia pakai kopiah putih. Hat tu ja beza dia”

Pak Mat bersyarah panjang. Man hanya tersenyum. Memang, ramai orang bercerita tentang Pak Long Salleh tentang geng sembahyang mayatnya. Tapi Man hanya masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri.

Fuh...fuhh.... sss.....
Asap rokok daun dihela dari paru-paru, naik ke kerongkong, dan bebas di atmosfera. Sesekali rokok daunnya terpadam, dia mencucuhnya semula. Biasalah, nak hisap rokok daun, pemetik api perlu sentiasa di tangan, mudah terpadam. Rokok melayu tak hebat macam rokok yahudi.

Sebaik Pak Long saleh hilang dari pandangan mereka, haji Musa Hudud melintasi dari arah bertentangan. Beserban putih berjubah hijau, laju menunggang Ex5. Haji Musa Hudud istiqamah solat jemaah. Tapi dia solat di masjid kampung sebelah.

“masjid kita masjid UMNO, tak mau la aku semayang sana, takut tuhan tak terima. Semayang sampai hitam dahi, tapi hukum ALLAH depa tolak”

Kata-kata Haji Musa, bila ditanya kenapa tidak imarah masjid sendiri. Haji Musa orang lama dalam Pas. Tak ada pangkat pun, tapi dia sangat ekstrim. Dari situ dia dapat gelaran haji Musa Hudud. Namun, Haji Musa pun tak boleh dipersalahkan 100%. Masjid kampung itu memang ‘biru’. Majoriti ustaz-ustaz hebat dilarang berceramah di masjid itu. Ustaz Anas, bekas imam masjid kampung itu, pernah ditukar 24 jam ke Pulau Ketam, hanya kerana sebut ‘hudud’ semasa kuliahnya di Masjid dulu.

“Isy petik api ni.. awat tak menyala pulak dah.

Pak Mat Haji mengoncang-goncang pemetik apinya yang degil tak mahu menyala. Sebaik menyala api kecil, dia tutup rapat dengan tangan, agar api tidak terpadam ditiup angin. Dan, rokok berasap semula.

Fuhh..... fuuuhhh....

“man.. hang tengok tu. Tu Azri, menantu Pak Ya sudu. Maghrib-maghrib baru balik kerja. Dekat pukul 8 dah. Tu dok jalan kaki, sat gi nak sampai rumah pukul berapa. Orang zaman sekarang, ligan (kejar) dunia, sampai tak peduli semayang.”

Kata Pak Mat sambil menunjuk kearah Azri yang baru turun dari van kilang yang menghantarnya di tepi jalan besar. Azri pemuda 30-an, tiap hari pulang kerja lewat, buat OT. Tapi hanya itu jalan yang Azri ada, dalam keadaan minyak yang mahal, harga rumah yang melambung tinggi, GST yang bakal wujud. Orang kerja Kilang tidak ada pilihan, selain OT, OT, OT, sampai mati!

“kesian tengok dia noh.. kerja keras cari duit bagi anak bini makan”

Man cuba menerangkan pada ayahnnya mengenai Azri. Man, anak muda Mahasiswa, pemikirannya lebih terbuka. Dia melihat untuk memahami, bukan untuk menghukum.

“alah.. depa tak susah tera mana aeh.. hang tengok rumah dia tu, ada piring astro!

Pak Mat seperti biasa, tak nak kalah. Mereka ketawa kecil memikirkan ada betulnya juga kata-kata Pak Mat itu.ketawa Pak Mat berselang seli dengan hembusan asap tembakau jawa, dan batuk-batuk manja.

ayah.. tu sapa tu?” 

Man terkejut melihat sepasang remaja lelaki perempuan naik RXZ bersama di dalam kampung. Yang perempuan memeluk erat lelaki itu, seolah-olah RXZ itu ada seat-belt. Man agak terkejut, jarang lihat remaja berani naik moto berpelukan lelaki perempuan didalam kampung majoriti melayu.

“tu anak Maksu Milah tu. Dok belajaq kat IKBN. Hat depan tu boypren (boyfriend) dia tu. Sama tempat belajaq kot. Muda-muda lagi gatai nak menikah dah.”

“nak menikah?”
“haa.. maksu milah cerita kat mak hang, laki tu pi rumah dia habaq kat nak minang anak dia tu.”

“habis tu, awat maksu milah tak bagi?”
“ingat menikah ni senang ka? Nak jaga anak dara orang bukan senang Man oi. Belajaq la bagi habis dulu.”

“tu depa dok naik moto peluk-peluk tu tak pa pulak?” Man sedikit marah dan kurang senang dengan pemikiran Maksu Milah dengan ayahnya itu.

“alah besa la budak muda..”  jawab Pak Mat selamba, sambil menggulung-gulung rokok daun di tebing bibirnya.

“maksu Milah tu bukan ada anak sulung ka yang belajaq dekat Jordan?”

“wahaby!”

“hah?”

“budak tu habis belajaq taun lepas. Balik mai jadi imam di kampung ni. Cengei (garang) sangat. Tahlil haram, talkin haram, Qunut haram, semua haram. Haram punya budak! Dia rasa dia pandai dah, cakap dengan orang tua-tua pun tak reti nak hormat. Ayah mengaji pondok di Sik dulu, time tu dia pun tak lahir lagi. Dah nak berlagak.” Terang Pak Mat.

“jadi, mana dia sekarang?”
“masuk UMNO. Jadi keriat-keriat apa ulama apa pun tak tau”

“Ouh.. skereteriat Ulama Muda Umno La kot, baguih la tu, Umno dah ada Ulama.”

Pak Mat tidak respon, dia sedang ‘high’menghembus asap rokok daunnya. Tembakau jawa, sesekali dia mengangguk memberi isyarat facial yang dia sedang mendengar kata-kata anaknya itu.
Vrooom...... kereta toyota Camry baru melintas di mini tar depan rumah mereka.

“Pergh! Orang kampung kita ada pakai camry!”
“la hang tak kenai ka? Tu Lan. Dapat datuk dah sekarang.”

“pak cik Lan hat meniaga Pasar Malam tu?”
“tu dulu.. dia la ni kaya dah.”

“main MLM ka ayah?

“dak aeh.. dia tu naik jadi ketua cawangan la ni. Dapat pulak jadi setiausaha ADUN. Belambak projek dia sapu kat dia. Nu, tanah-tanah orang kampung ni, berapa banyak dia adjust juai kat cina. Melayu dok bangga tanah melayu ja la, padahai tanah semua cina sapu!”

Pak Mat bersuara. Pak Mat tidak minat Politik, namun dia agak Ultra Malay. Meskipun tidak sewarak mana, atau tidak kuat berparti, namun Pak Mat sangat sayangkan melayu. Pak Mat antara melayu yang tidak menjual tanahnya kepada cina. Dan tanah itu, anak sulungnya guna untuk mohon rumah PRIMA.

Fuhh.. fuh.....fuuuuhhh.....
Asap masih setia menemani perbualan mereka, rokok daun lambat habis.apatah lagi kalau otai yang membalutnya.Kelihatan dari jauh, anak-anak muda yang menggigit lalang tadi menunggang laju motosikal mereka pulang ke rumah. Sambil bergelak tawa besar, bergurau senda diatas moto, angkuh membelah mini tar dengan deruman EX5, WAVE, dan 125Z. Semua ayah beli!

“Haisyh.. apa nak jadi dengan budak-budak ni. Tu semua baru tingkatan 4 tu. Elok dapat lesen ja, mak ayah depa pakat bagi moto. Senang nak pi sekolah. Tapi ayah tengok, mana ada pi sekolah pun, dok melepak kat warung Pak Lah belakang sekolah tu. Hisap rokok.”

“Hisap rokok?”

Man tersenyum geli hati bila mendengar ayahnya menyebut tentang rokok, sambil ditangannya ada rokok, di mulutnya ada asap.

nak heran (hairan) apa, bukan takat rokok, dadah pun depa berani ambik dah sekarang. Tak tau la apa nak jadi.”

Man tertunduk melihat gitarnya, niatnya tunning gitar tidak jadi, kerana asyik berbual dengan ayahnya itu. Itik tadi mungkin dah ‘solat maghrib’. Suasana sunyi sebentar, tiada siapa yang lalu memecah kesunyian jalan itu. Cengkerik makin galak berpantun, bulan sudah mengintai posisi sesuai.

“ayahnya! Pukul 8 dah ni! Pi la mandi sembahyang maghrib lekaih (cepat)! Sat gi dah nak masuk isyak. Dok sembang orang nu tak kena, orang ni tak kena, rokok kat tangan tu pun tak kena jugak. Pi mandi semayang lekaih. Ustat mutalib marah tau dak, dah tua-tua pun dok lengah semayang!”

Ramlah menerjah ke anjung. Memberi kuliah maghrib percuma kepada suaminya. Kuliah paling ikhlas, bukan dari UMNO, bukan dari PAS, bukan assyairah, bukan wahabi.

“aku tau la. Sat la. Dok ustat mutalib, ustat mutalib, Pak Mat Haji pun pandai gak aeh!”

Pak Mat melenting bila ditegur isterinya. Itu antara sebab Pak Mat kurang senang bila Ramlah rajin mengaji, habis satu rumah mahu dikuliahnya. Man kali ini tidak mampu menahan ketawa melihat sikap ego dan ‘tak nak kalah’ ayahnya itu.

“gelak-gelak apa Man? Pi semayang kaeh! Sat gi ustat Mutalib marah!

Pak Mat memberi arahan kepada Man sambil menjeling sindir isterinya yang masih bertelekung itu. Man yang masih merah pipinya yang lenguh tersenyum dan ketawa itu, bangun, melintasi depan ayahnya, dan pergi menuju bilik air untuk mengambil wudhuk. Sesekali dia menoleh kearah Ijah yang sedang menyampu air mata, mungkin sedih agaknya episod malam ini. Ramlah masuk semula ke biliknya dan menyambung bacaan Al Quran.
Pak Mat Haji, termenung, mengoncang-goncang pemetik apinya yang sudah hampir kehabisan gas, cucuh semula, dan menyambung membalutnya lagi, rokok daun tembakau jawa.






No comments: