teman-teman...

Wednesday, December 7, 2011

hakikat Taqwa : andai kita sedar.....


Takwa boleh dicapai dengan kita sentiasa menghubungkan konsep sulukiyyah dalam kehidupan kita iaitu pembersihan jiwa. Apabila kita mengenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Takwa itu umpama sahabat karib bagi kita dan apabila nama Allah SWT sentiasa bermain di bibir dan di setiap denyutan nadi kita, roh kita akan makin teguh cinta kepadaNya dan hidup ini akan dihamparkan kepada rasa cinta yang agung kepadaNya. Hati kita dirasakan bagai di langit, jasad kita di bumi, ketika itu apabila orang berbuat khianat kepada kita, kita akan membalasnya dengan kebaikan. Ketika itu juga dunia dan segala isinya hanyalah tidak lebih dari kenderaan yang kita tunggang untuk ke akhirat. Andai kita sedar semua yang ada pada kita adalah atas ihsan dariNya, kita akan mampu menjadi hamba yang bertakwa.

Andai kita sedar bahawa penglihatan kita ini adalah ihsan dari aura Allah SWT yang Maha Melihat, nescaya kita tidak akan mampu melihat perkara-perkara mungkar. Andai kita sedar bahawa pendengaran kita ini adalah ihsan daripada aura Allah SWT yang Maha Mendengar, nescaya kita tidak akan mampu untuk mendengar perkara-perkara dusta. Andai kita sedar bahawa lisan kita ini adalah ihsan dari aura Allah SWT yang mengajarkan kalam, nescaya kita tidak akan mampu untuk mengumpat dan menyebarkan fitnah. Namun malangnya, kita belum kenal cinta Tuhan hingga ke tahap demikian. Lalu bagaimana? Jawapannya, “tunggu apa lagi?” Bersegeralah mencari reda dan cinta Tuhan. Di sana akan kita rasa kemanisan hidup di bawah payungan kasih Tuhan. Jangan pisahkan kekuatan jasad dan roh kerana di situ terletaknya senjata paling ampuh umat Islam.

Kita ini makhluk yang lemah. Andai kita pernah merasa besar dengan kudrat kita, ingatlah ia bukan milik kita. Andai kita berbangga memukul orang sana sini dengan tangan, andai kita berbangga dapat berlari kencang dengan kaki, sekarang cuba gerakkan rambut kita sendiri tanpa bantuan kaki atau tanganmu!  Mengapa tidak mampu digerakkan? Bukankah tadi kita hebat memukul orang, kita hebat menyepak menendang? Ya. Kita tidak ada apa-apa selain dari ihsan Tuhan. Apa perlu kita sombong dengan Tuhan, sedangkan untuk menggerakkan sehelai rambut pun kita tidak mampu. Andai betul kaki yang membuatkan kita berjalan, sudah lama orang yang lumpuh bangun berjalan. Andai betul dengan mata kita boleh melihat, sudah lama orang buta bebas bergerak melihat dunia. Mengapa mereka tetap lumpuh? Bukankah mereka masih ada kaki? Mengapa mereka tetap buta? Bukankah kedua biji mata mereka masih ada di dahi? Sudah dikatakan tadi, itu semua datang dari Allah SWT. Andai kita sedar hakikat ini, insya-Allah takwa kita akan bertambah. Carilah guru yang mursyid, tuntutlah ilmu, cucikanlah hati, baru kita akan mengerti apa itu realiti fantasi dan apa itu fantasi realiti.
   
Andai takwa boleh dibeli, tentu sudah ku gadaikan duniaku untuk dapatkannya
Andai ku tahu hanya takwa yang bernilai,
Pasti sudah ku sadaikan egoku di pengkalan nafsu,
Andai takwa itu datang menawar diri menjadi bekalku,
Aku rela andai ia pinta syarat yang beribu,
Andai takwa itu jisim,
Sudah tentu ku hiaskannya dan jadikan permata sepanjang musim,
Andai takwa itu lagu,
Akan ku alunkan lirik indah agar keduanya bersatu,
Namun,
Takwa itu hanya ku anggap dongengan,
Di saat orang lain merebutnya, aku masih hanyut dengan angan,
Akhirnya bila takwa itu menutup pintu,
Puas ku ketuk puas ku rayu,
Tiada sahutan yang sudi menyahutku,
Nanti tika insan lain membawa takwa mereka masing-masing,
Aku berfikir, bolehkan dunia yang ku bawa ini bersaing?
Takwa yang tidak terlihat di mata akan menjadi bekal berguna,
Dunia yang indah dengan tipu daya, itulah bekalan yang bakalkan aku merana
Untuk siapa dunia ini dikejar,
 kalau bukan untuk santapan nafsu,
Untuk siapa lagi takwa mereka dihampar,
kalau bukan untuk jiwa yang cinta pada Tuhan yang satu...

CUKUPLAH UNTUK HARI INI.
  
        *PETIKAN BUKU kHUTBAH Terakhir Rasulullah s.a.w, IbnuRijal(2011)

5 comments:

Anonymous said...

baru berkesempatan menghabiskan buku ni. terima kasih,sangat memberi kesedaran dan menginspirasikan.

Anonymous said...

Hello Saudara IbnuRijal, sy ada soalan. Soalan sy ialah Benarkah org2 Islam akn masuk syurga jgk di akhhirnya stelah dicuci dosa2 mereka? & benarkah org2 kafir akn masuk ke dalam neraka slama-lamanya? Jika benar, mengapa Tuhan berbuat demikian sedangkan Tuhan mengakui dirinya Maha Adil. Apakah org2 kafir minta utk dilahirkan dalam kalangan org2 kafir? org2 Islam sendiri tdak meminta utk dilahirkan dalam kalangan Islam. Jadi, org Islam sejahat manapun ia akhir skali akn msuk ke syurga juga akhirnya stelah di cuci dosa2 di neraka. Sedangkan org2 kafir msuk ke neraka buat slama-lamanya walaupun mereka mmpunyai akhlak yg baik sedangkan mereka juga tdak meminta utk dilahirkan drpd kalangan org2 kafir. Seperti org2 Islam, mereka lahir2 saja trus beragama islam krn lahir dalam kluarga islam & org2 kafir lahir2 saja trus beragama kriten, yahudi, hindu, budist, & lain2nya krn lahir dalam kluarga agama mereka. Jadi patutkah mereka msuk ke neraka tanpa hisab walaupun mereka mmpunyai akhlak yg baik sedangkan mereka x minta utk dilahirkan dalam klurga org2 kafir? dan patutkah org2 Islam msuk ke syurga di akhirnya walaupun mereka bnyk melakukan dosa?
Itu sahajalah soalan sy. thnk u

huruL____ain said...

salamun alaik... saya hari ini baru shja membeli buku nukilan saudara...alhamdulillah..sudah lama saya memcarinya...ptg td saya telah menjumpainya....subhanallah...mukasurat pertama sudah membuatkan saya menitiskan air mata... sesungguhnya.. baru saya sedar...jauhnya cinta saya terhadap Rasulullah s.a.w dan ketidaksyukuran saya dalam menjadi umatnya.. Astargfirullahalazim... semoga saya akan lebih mencintai Rasullullah dan Dia Yang Satu...ameen..

Anonymous said...

terima kasih ya kerana sudi mendapatkan buku ini dan berkognsi pengalaman diruangan ini.. semoga ALLAH memberkati usaha kita ini

Anonymous said...

salam...sy tertarik dgn bku tulisan saudara, Bertanya Tentang Tuhan.sy seorang dan saya sering tertanya bagaimana pendekatan terbaik yang saya dapat guna dalam mendidik dan menyampaikan ilmu pd pelajar remaja berumur 18-19 tahun. bolehkah juga tuan memberi pndgan tuan bagaimana nak mengatasi msalah disiplin di kalangan mereka?