Hamba ALLAH yang Faqir,
penyembah DIA,
walau dimana jua,
walau ketika mana masanya.
29/5/2012
menemui para ulama ilmuan yang daku sanjungi. semoga senantiasa sihat dibawah rahmat dan lindungan kasih Ilahi..
aiyyuhal ulama'..
daku utuskan suratku ini untukmu, sebagai ingatan dirimu dan diriku jua, akan betapa berharganya anugerah segedung ilmu, dan betapa besarnya tanggungjawab sepikul amanah.. keduanya ini bila bertemu, maka hasilnya tentu mulia andai ia tidak mahu dimuliakan, dan hasilnya tentu binasa, andai ia mahu dimuliakan..
aiyyuhal ulama'..
suka daku bacakan buat kalian, firman ALLAH didalam al Quran,
" Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat." (mujadalah, 11)
demikian ALLAH mengangkat martabat kalian, tinggi jauh dari manusia lain, kerana ilmu yang ada di dada-dada kalian itu. tidak cukup dengan itu, nabi s.a.w bersabda,
"ulama' itu perwaris para nabi.."
bahkan begitu, sudah diangkat martabat, menjadi waris pula sekalian kerabat anbiya'. dengan sebegitu besar kurniaan yang dilimpahkan untuk kalian, ada yang bertanya, adakah itu mencukupi? apakah imbalan olehmu, atas anugerah yang diterima itu? demikian tegas Al Ghazali, ulama itu terbahagi dua, pertamanya ulama' baik, keduanya ulama' jahat. mengerti akan kata-katanya?? ya.. yang baik pun disebut ulama', yang jahat pun MASIH disebut ulama'.. jadi apa ertinya? ulama' itu boleh jadi baik, dan boleh jadi sebaliknya..
sabda nabi,
"akan datang suatu masa, tidak tinggal apa dari islam itu selain dari namanya, tidak tinggal dari Quran itu selain dari tulisannya, masjid2 mereka tersergam indah, namun kosong dari hidayah, ulama'-ulama' mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kalungan bumi, dari merekalah bermulanya fitnah, dan kepada mereka fitnah itu akan kembali.."
daku bertanya, adakah kita sedang menghampiri zaman itu, atau sudah berada didalamnya?
aiyyuhal ulama'..
kalian ilmuan, ilmu kalian jadi rujukan, hemat kalian jadi panduan, nasihat kalian jadi ikutan.. mengapa masih mengejar lebih.. cukuplah tuhan sebagai pelindung, mencukupkan apa yang kurang, mengadakan apa yang hilang.. mengapa harus ditelan bara, hanya kerana mahu tubuhmu menyala dilihat terang? mengapa harus ditarik hidungmu hanya kerana menanti rumput dihidang.. kalian ada kelebihan diri, bahkan darjatmu lebih tinggi, diakui waris sekalian nabi, maka mengapa masih mengharap redha yang lain?
tidak semudah itu bergelar ulama ukhrawi, yang bercakap benar meski pahit.. inilah golongan yang bersifat jujur dengan ilmunya, bersifat amanah dengan tuhannya.. kaki As syafie pernah dirantai dibawa menghadap umara', tubuh Hanafi pernah diseksa, dan wafat meminum racun hanya kerna menegakkan kalimah yang hak dari kebatilan umara', hambali, maliki, tubuh mereka merasa sebat sepanjang hayat, kerana mencari redha ALLAH lebih dari melindung kesesatan "si payung"..
sufyan At tsauri, imam an Nawawi,turut menerima "azab" serupa, kerna menegur apa yang sepatutnya, menegakkan apa yang selayaknya..
lantas bagaimana pula dengan kalian?? disaat tubuh para ulama' silam bermandi calar balar kesan kebenaran, tubuhmu disaluti pakaian buatan mahal-mahal kerana tugasmu hanya untuk menghalalkan.. apakah tidak cukup rezeki tuhanmu hingga kau menangih pada "payung" yang busuk lagi lusuh itu? kau berkata benar dalam hatimu, namun kau membohongi pada lisanmu.. kau membela payungmu didepan ALLAH, tetapi kau tidak pernah membela ALLAH didepan payungmu itu?? apa sudah jadi dengan ilmu mu?? dimana dikau sembunyikan imanmu itu? dibalik pakaian mahal, atau dibalik kurungan gelaran duniawi yang kau dambakan? dimana ilmu mu itu kau simpankan? adakah perlu ilmu itu diam bersembunyi dibalik scroll sarjanamu., biar ia usang, kerana nafsu telah membunuh ilmu itu?
kau renungi sendiri firman ALLAH dalam surah AL A'raaf, ayat 176,
"tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga)."
tidak pernah sekeras ini perumpamaan dari tuhanmu, bahkan, buat ahli kitab yang tidak mengamalkan kitab, tuhan bandingkan mereka umpama himar yang memikul bebanan.. namun, buat para ulama' yang cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsu, tuhanmu menyamakan dengan anjing yang menghulurkan lidah..
ia perlambangan yang cukup hina.. biar dihalau turut menjelir, andai dibiar masih menjelir, memberi petandan nafsu yang tidak pernah kenyang dan puas, masih mencari tempat biar diusir, masih mencari darjat biar ilmu dibiar cicir..
aiiyuhal ulama'..
bukan kalian tidak dengar, ucapan nesta menghina hudud tuhanmu, bukan kalian tidak lihat maksiat berleluasa dalam negerimu, bukan dikau tidak tahu perilaku "payung" mu itu.. bukan dikau tidak nampak segala kebatilan,pembaziran, hiburan, berjabat tangan, si wanita dibiar mendedah apa sahaja, si umara dibiar mengumpul harta.. ada majlis agama yang tidak sebulu dengan payungmu itu, dikau sendiri yang turun padang, rakus menangkap, mengikat mati mulut mereka, konon mereka tiada tauliah... namun, bila payungmu itu anjurkan konsert luar biasa, menjemput syaitan manusia memperaga hiasan apa yang ada, dikau diam???? malam ini payungmu itu berjabat tangan dengan syaitan itu, esoknya pula dikau bersalam bercium tangan dengan payungmu itu?? rendahnya maruahmu??
tidakkah dikau malu dengan dirimu ? tidakkah dikau rasa bersalah dengan ilmumu? tidakkah dikau silu masih menyebut kalimah tuhanmu, sedangkan pada zahirnya bukan redha tuhanmu yang dikau kejar?? ada seorang budak gembala kambing, di zaman umar.. bila diuji Umar, agar budak itu menjual kambingnya kepada umar, lalu dicadangkan supaya budak itu membohongi tuannya dengan berkata kambing itu dimakan serigala.. budak gembala itu menolaknya, kerana katanya dia amanah pada tugasnya, dia sedar ALLAH sedang memerhatinya.. budak itu mempunyai ilmu mengembala kambing, dan dia amanah dengan ilmunya itu, sekarang kalian mempunyai ilmu akhirat dan syariat, mengetahui halal haram hukum, tetapi kalian tidak amanah pada ilmu mu itu.. lebih baik kalian yang menjaga kambing, biarkan budak gembala itu yang memengang posisimu hari ini.. atau kalian tidak mahu jadi gembala, mahu terus menjadi serigala?? membaham kambing2 muda yang mahu bebas hidup? ada sahaja yang bersuara, atas nama kebenaran, pantas kalian cantas, kononya tidak layak bersuara, tiada tauliah berkata agama..
jika pemimpin itu ibarat payung, yang melindungi rakyat, ulama' pula adalah tangan yang mengawal payung itu.. andai ia dibuka terlalu luas, maka ulama menariknya agar tidak rosak, andai ditutup tidak pernah dibuka, maka ulama menolak picunya agar terbuka.. andai terkoyak, kalian lah yang menjahitnya semula.. bukan biarkan ia terus terkoyak, dan kalian hanya menutupi bocoran itu dengan tanganmu sendiri..kerana.. andai menutup bocoran payung dengan jari, air tetap mengalir di celahan jari.. ku harap kalian faham bahasaku ini..
ku petik sebuah kata-kata dari Yahya bin Muaz ar razi kepada sekalian ulama' yang menggadaikan ilmunya demi dunia..
" wahai orang- orang yang berilmu, istana-istana kalian laksana istana kaisar, rumah-rumah kalian laksana rumah kisra, kenderaan kalian laksana kenderaan Qarun, gelas-gelas kalian laksana gelas firaun, jamuan kaluan laksana jamuan jahiliyyah, mazhab-mazhab kalian laksana mazhab syaitaniyyah, lalu dimanakah risalah Muhammad s.a.w??"
akhir kalam dariku yang faqir dan tidak bertauliah ini.. ingat wahai ulama', dengan ilmu manusia boleh menempah tiket mudah ke syurga, dan dengan ilmu juga manusia boleh menempah jalan pantas ke neraka.. usah bersedih andai terpinggir kerana menegakkan kebenaran, tetapi bertaubatlah! seandainya kalian sedang dimuliakan kerana menghalalkan kebatilan...
sekian dariku,
hamba ALLAH yang faqir,